Sunday, 17 March 2013

myMetro | Taring belum tajam

Shah Alam: Arab Saudi menepati ramalan selaku jaguh Asia apabila menang mudah 4-1 ke atas skuad negara dalam aksi persahabatan malam tadi.
Rembatan pemain gantian Mohd Safiq Rahim pada minit ke-70 yang menggegar gawang lawan memberikan sedikit kegembiraan kepada 5,000 penonton yang hadir di Stadium Shah Alam.

Ia dilihat mampu mengembalikan reputasi kapten kebangsaan itu yang sebelum ini dikecam berikutan prestasi tidak konsisten dalam kancah domestik. Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila Arab Saudi kembali garang menyumbat dua gol lagi selepas itu. Apapun aksi perlawanan semalam dilihat bukan berstatus `A’ seperti yang dilaporkan sebelum ini apabila kedua-dua pasukan melakukan pertukaran melebihi enam pemain dengan Arab Saudi memasukkan keseluruhan pemain baru di babak kedua.
Pelawat kendalian Lopez Caro terlebih dulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan kebelakang penyerang kelab Al-Ettifaq, Yousef al-Salem.

Kesilapan penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat membaca gerakan lawan jelas membawa padah apabila Yousef menyentap semangat anak buah Datuk K Rajagobal yang nampak tenggelam dengan hantaran pendek dan kombinasi pemain lawan.

Kehadiran Mohd Badhri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari mengemudi jentera tengah belum mampu menggerakkan serangan berbahaya sepanjang 45 minit babak pertama.
FotoAMRI (tengah) dihalang dua pemain Arab Saudi Abdullah Aldossary (kiri) dan Taiseer Aljassam malam tadi.
Malah lawan sebaliknya menambah jaringan menerusi Yahya al-Shehri m-30 diikuti kealpaan benteng pertahanan membuka ruang Naif Hazazi merembat masuk m-89 dan Hamdan al-Hamdan pada masa kecederaan babak kedua.

Ketumpulan sentuhan penyudah yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha dilihat menjadi penyumbang kekalahan Harimau Malaya walaupun mendapat beberapa peluang meledak gol pada babak awal separuh masa kedua.
Rajagobal yang melakukan rombakan pemain pada babak kedua masih belum mampu menyaingi kehebatan lawan. yang turut membuat persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Indonesia.

Kekalahan itu menambah kesangsian akan keupayaan skuad negara sendiri berdepan Yaman, Jumaat ini selepas tumbang kepada Qatar pada aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2015.

No comments:

Post a Comment